Monday, October 31, 2011

Saya Memandu Hari Ini

Assalamualaikum w.b.t.

Saya memandu hari ini? Macam tak caye je kan? Tapi itulah kisahnya. Biasanya saya menunggang. Tapi memandangkan motor saya asyik buat hal je semenjak dua nih..Tambah lagi dengan perut yang sudah memboyot amat ni. Angin saya. Tapi mungkin juga dia merajuk. Selepas bertahun bersama denganya, akhirnya saya buat keputusan untuk curang dengannya. oh...jangan salahkan diriku.

Hidup ni kan memerlukan kita bergerak ke depan. Tak gitu?? Jadi saya pun ingin ke depan jugak walaupun agak lambat. Lebih baik lambat daripda tak bergerak langsung. Lepas je dapat lesen kereta, saya mula slow-slow belajo bawak kete tapi hubby mesti ada kat sebelah. Mula-mula memang seram walhal bawak motor lagi bahaya.

Tapi faham-faham je lah bila cik abang@lelaki kat sebelah, lebih-lebih lagi kereta tu dia yang punya, bising jer mulut dia. Bengkek juga dibuatnya. Tapi buat pekak badak sambil hati bebel. Malam ni aku tak masak karang. Baru tau. Tapi sayangnya..kata-kata itu hanya bergema dalam hati. Yelah kalau kat bibir karang, perit pulak pipi. Hahahahaha...

Tapi hari ini, buat pertama kalinya, saya bertekad memandu sendiri ke tempat kerja walaupun  kecut perut dalam keadaan hujan lebat. Dan akhirnya, sampai jugak ke ofis. Macam tak caya jer. Saja parking kete jauh-jauh. Taknak budak-budak ofis nampak.Nasib baik takde lori@JCB@kenderaan berat lain. Kalau tak, memang scary movie.

Ok, cabaran pergi kerja dah setel, cabaran balik kerja pulak menanti 5.30petang nanti. Risau nak naik flyover nanti. Apa pun naik motor LAGI BEST!!!

Terima kasih kerana membaca post ni.

Friday, October 21, 2011

Berpesan-pesananlah Kita Dengan Kata-kata Imam Al Ghazali

Assalamulaikum w.b.t.

Wah...tajuk entri....^_^oklah kat sini saya nak kongsi sedikit ilmu iaitu kata-kata Imam AL Ghazali yang saya petik dari email yang saya terima. Maka renung-renungkanlah. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada kita. Yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk pula kita jadikan sempadan. 

Imam Ghazali: Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?
Murid 1: Orang tua
Murid 2: Guru
Murid 3: Teman
Murid 4: Kaum kerabat
Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita
ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan
mati ( Surah Ali-Imran :185).


Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Murid 1: Negeri Cina
Murid 2: Bulan
Murid 3: Matahari
Murid 4: Bintang-bintang
Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA
LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat
kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari
esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan
ajaran Agama.


Imam Ghazali: Apa yang paling besar didunia ini ?

Murid 1: Gunung
Murid 2: Matahari
Murid 3: Bumi
Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA
NAFSU (Surah Al Araf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita,
jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.


IMAM GHAZALI Apa yang paling berat didunia?

Murid 1: Baja
Murid 2: Besi
Murid 3: Gajah
Imam Ghazali: Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH
(Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua
tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin di
dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi
permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal
memegang amanah.


Imam Ghazali: Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1: Kapas
Murid 2: Angin
Murid 3: Debu
Murid 4: Daun-daun
Imam Ghazali: Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali
didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan
dunia, kita tinggalkan solat


Imam Ghazali: Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?

Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang
Imam Ghazali: Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah
LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati
dan melukai perasaan saudaranya sendiri


Tuesday, October 18, 2011

Selamat Berangkat

Assalamualaikum w.b.t.

Menunaikan haji ke Baitullah merupakan Rukun Islam yang kelima. Sekaranglah masanya menunaikan rukun tersebut. Setiap orang dari kita yang beragama Islam haruslah menyimpan impian untuk menjejakan kaki ke tanah suci Mekah bagi menunaikan haji. Begitu juga dengan diri saya. Tak tahulah bilakah impian itu tercapai.

Boleh dikatakan setiap hari suratkhabar mahupun berita kat TV memaparkan cerita-cerita berkenaan dengan orang-orang yang terpilih pergi menunaikan haji dengan versi yang tersendiri. Perasaan gembira dan teruja para jemaah tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Yalah kan, sekian lama mengumpul duit, berdikit-dikit, akhirnya impian yang sudah sekian lama tersemat diminda dapat dilaksaanakan akhirnya.

Begitu juga dengan boss saya, En Abdul Wahab. Alhamdulillah tahun ni beliau dan isteri beserta ibu mentuanya dapat menunaikan rukun islam yang kelima ini. Hari ini beliau berangkat ke Kelana Jaya dari Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan jam 10pagi. Di ruangan blog ini, saya nak minta maaf banyak-banyak sebab tak dapat ikut serta hantar ke airport tadi. Kebetulan pula saya ada urusan yang tak dapat dielakkan.

Tak dapatlah saya berkongsi kesedihan sekali. Apapun saya mendoakan agar semuanya selamat. Selamat pergi dan selamat kembali. Jangan lupa doakan saya supaya bersalin dengan jayanya. Semoga boss mendapat haji mabrur.

Cerita pasal hantar orang pergi haji ni, masa kecil-kecil dulu suka sangat ikut tokwan pergi hantar orang nak pergi haji kat Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Pakat ramai-ramai sewa van. Boleh dikatakan hampir satu kampung turut serta. Kata orang ambil berkat. Mungkin lain kali giliran kita pulak. Siap bawa bekal dengan tikar. Macam nak pergi berkelah jer. Maklum sajalah airport dengan kampung jauh. Petang-petang dah bertolak. Flight berlepas selalunya pada waktu malam.

Maka ramai-ramailah bentang tikar kat atas padang sambil makan-makan. Masa tu saya masih bersekolah rendah. Tau rasa seronok jer. Tak ambil kisah orang-orang yang sedih, teresak-esak, sedu-sedan. Tambah lagi waktu tu, ada orang meniaga macam-macam. Lagila seronok walaupun tak beli apa-apa. Saya kan orang susah. Nak merasa macam budak-budak zaman sekarang ni, memang taklah.

Memang nostalgia betul kalau dikenang-kenangkan kembali. Sekarang saya dah besar. Dah jadi mak orang pun. Kenangan tu dah bertahun saya tinggalkan. Kehidupan yang serba daif juga sudah lama saya tinggalkan. Sekarang ni saya tak pasti ada lagi ke tak orang yang hantar haji macam tu lagi. Saya pun dah lama tak hantar orang pergi haji.

Semoga ditahun mendatang, saya diberi kesempatan oleh Allah menunaikan haji bersama suami tersayang. Amin.

Tuesday, October 11, 2011

Jalan-jalan ke Taman Teruntum

Assalamualaikum w.b.t.

Kadang-kadang dalam kesibukan kita menjalani kehidupan seharian, kita lupa pada orang yang tersayang, yang amat memerlukan perhatian daripada kita. Apa sahaja yang kita lakukan dalam kehidupan kita tidak kira dari segi kerjaya mahupun aktiviti lainya memerlukan komitmen yang penuh daripada kita. Dari segi kerjaya contohnya, kadang-kadang kita terpaksa korbankan masa kita demi memenuhi tuntutan kerjaya hinggakan kita lupa yang sebenarnya kita mencari rezeki adalah untuk menyara keluarga.

Apa punya panjang intro daa..., padahal saya ingin kongsikan cerita saya dan suami bawa Hanum berjumpa dan berkenalan dengan binatang-binatang di mini zoo Taman Teruntum, yang terletak di bandar Kuantan. Kat sini takdelah banyak sangat pun binatang-binatang. Tak macam dekat zoo negara kat KL tu. Tapi dikira BOLEH lah kalau nak bawa keluarga terutama anak-anak beriadah sambil menghabiskan masa bersama keluarga.

Lebih-lebih lagi anak-anak kecil. Pasti diaorang berasa seronok yang amat kalau dapat keluar dengan ibu dan ayah selepas saban hari ibu dan ayah asyik sibuk dengan kerja-kerja yang tak sudah di pejabat tu. Sekali-sekala bawa anak-anak keluar, dapat mengeratkan kasih sayang dan menambahkan kemesraan di kalangan ahli keluarga. Ayat skema ni.

Saya kalau ke Taman Teruntum, saya paling suka tengok monyet yang tangan panjang tu, yang selalu melakukan aksi-aksi manja untuk tarik perhatian orang. Kadang-kadang minta pengunjung gosok belakangnya. Bukan main lagi mengadanya dia. Sudah lama juga saya tak ke sini, nampak macam ada sedikit penambah baikan macam pagar didirikan sekeliling sangkar monyet tu. Mungkin taknak orang ramai terutama kanak-kanak terlalu dekat dengan monyet tersbut, Almaklumla monyet tu tangannya panjang. Monyet tu juga sudah berteman sekarang.

Selain monyet, burung unta adalah tarikan terbaru bagi saya sebab sebelum ni takde pun saya perasan bururng unta kat situ. Kali ni saya tak berkesempatan pun nak pusing seluruh zoo sebab tak larat nak bawa diri nak panjat bukit. Zoo Taman Teruntum ni terletak di kawasan sedikit berbukit. Mahu semput dibuatnya. T___T

Si Hanum takdela teruja sangat tengok binatang-binatang berkenaan. Maklumlah sajalah penakut. Dengan kucing pun takut apatah lagi binatang yang jarang-jarang jumpa. Lagi besar, lagi kuat bunyi, lagi kuat takutnya. Ummi dengan abahnya je yang terlebih teruja. Hehehe

Kat sini pun disediakan juga playground untuk kanak-kanak. Pemandangan pun boleh tahanlah. Hijau mata memandang. Suasana pun tenang je. Memang sesuai la untuk bawa famili di hujung minggu. Apa kata kita layan gambar supaya dapat sikit gambaran. Mana tau lepas ni nak datang berkunjung ke.


Hanum dan abahnya berlatarbelakangkan burung unta

Hanum nampak macam budak besar bila pakai macam ni. Maklumla orang dah nak jadi kakak.
Antara burung yang ada di Taman Teruntum. Tapi tak tau apa ke namanya

Haa..ni la monyet yang saya ceritakan tu. Buat-buat termenung pulok

Tengoklah aksi dia tu..

Mentanglah tangan dia panjang.

Antara buaya yang terdapat di sini.

Macam geli je tengok buaya ni. Nampak pengotor. Macam mana orang yang jadi crocodile hunter tu ye

Dua ekor burung unta


Pemandangan yang hijau

Sejuk mata memandang



Antara kudapan yang terdapat di sini. Harga macam biasa. RM1 satu cucuk kecuali udang tu, tak ingat berapa

   



Sekian sajalah jalan-jalan kali ni. Lain kali kita ke tempat lain pulak ye. Bawa-bawalah anak-anak tu keluar sekali sekala. Biar diaorang rasa seronok. Tiada apa yang lebih penting dari anak kita kerana merekalah harta kita dunia akhirat.  Wassalam.

Tuesday, October 4, 2011

Syawal Sudah Pun Berlalu...Bulan Haji Pula Datang

Assalamulaikum w.b.t.

Sudah beberapa hari syawal berlalu. Tetapi kemeriahan syawal masih terasa buat diri saya. Syawal tahun ni, saya rasa amat meriah walaupun pada hakikatnya saya tidak berbaju raya pun di pagi raya yang lalu. Saya macam mokcik-mokcik je pagi raya tu. Berkain batik dan berbaju T. T____T

Maklumlah dengan keadaan diri yang sedang sarat membawa perut, saya lebih selesa dengan cara begitu. Tambah lagi dengan cuaca panas, tetamu pulak ramai yang berkunjung. Mau berpeluh ketiak dibuatnya. Ditambah lagi dengan Hanum yang asyik merengek je.

Raya tahun ni juga catat sejarah yang tersendiri buat diri saya dan keluarga pabila abang ipar saya buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke rumah orang tua saya selepas hampir lima belas tahun menikah dengan kakak saya. Dahlah datang dengan rombongan cik kiah tapi saya tak bersnap sangat. Rugi pula rasa.

Saya pun cuma beraya ke rumah adik-beradik saya je. Rumah kawan-kawan pun saya tak pergi. Diaorang pun tak datang bertandang ke rumah saya. Kecil hati saya. Macam saya memang susah nak bergerak. Takde transpot. Kebetulan suami pula kerja. Sudahnya tumpang orang je la saya ni.