‘Rumah berbumbungkan Jejambat Lebuhraya’.Begitulah tajuk email yang saya terima baru-baru ini. Pada mulanya saya sangkakan kehidupan di luar negara tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Ianya berlaku di negara kita. Simpati saya melihatnya. Terdapat seorang bayi berusia 17 bulan turut menetap di bawah jejambat tersebut bersama kedua ibubapanya. Sedih bukan? Tapi itulah realiti kehidupan sebenarnya. Kemajuan yang menghambat kadang-kala ada yang terlambat.
Sebab itulah saya selalu melihat ke dalam diri. Mengajar diri untuk menghargai dan mensyukuri setiap apa yang saya ada. Mungkin sesuatu itu kecil nilainya namun ia tetap berharga seandainya kita ikhlas menghargainya.Bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu adalah lebih manis rasanya daripada memperolehi melalui orang lain.
Bila melihat orang-orang bergelandangan, saya masih bertuah kerana masih menetap di sebuah rumah walaupun tak besar mana. Lengkap dengan kemudahan yang diperlukan. Itu sudah memadai. Bila terpandangkan satu keluarga sedang menunggu bas dengan anak-anak yang ramai,di bawah terik mentari, saya kira saya masih beruntung dapat ke sana sini tanpa perlu berpanas mahupun bersesak-sesak di dalam bas.
Dulu saya selalu mengatakan saya tidak bernasib baik kerana tidak dapat ke universiti seperti rakan lain kerana result yang sedang-sedang,saya hanya layak ke kolej swasta tetapi saya sangat bertuah kerana terus mendapat perkerjaan sebaik sahaja tamat belajar, tidak seperti rakan yang ke universiti yang mendapat pekerjaan tidak setimpal kata mereka. Sudahlah kerja tidak berbaloi, hutang juga bertambah,ditambah dengan faedah lagi,pun saya masih beruntung, separuh daripada pinjaman dijadikan biasiswa.
Jika dilihat semula, betapa beruntungnya saya walaupun kadangkala terkebelakang. Syukuri dan hargai apa yang anda ada tidak kira harta benda mahupun orang-orang di sekeliling anda.
No comments:
Post a Comment