Assalamualikum w.b.t.
Bapa hiba anak ke tali gantung. Begitulah tajuk utama Berita TV9. Sebenarnya saya pun turut hiba bila melihatkan si bapa memeluk si anak sambil mengalirkan air mata walhal saya tidak kena mengena pun dengan individu tersebut. Jauh sekali mengenalinya.
Apa yang membuatkan saya mengalirkan air mata ialah apabila si bapa yang sudah memasuki usia senja mengalirkan air mata. Hati bapa mana yang tidak sedih apabila anak yang disayang, ditatang bagai minyak penuh membuat onar hingga membawa dirinya ke tali gantung.
Hati bapa mana yang tidak ralat anak yang diasuh sejak kecil hingga berjaya ke universiti, memegang segulung ijazah membuat kesilapan, lalu membawa dirinya ke lembah hina.
Hati bapa mana yang tidak rawang bila di usia yang sebegitu, hanya mampu melihat anak mengakhiri nyawa di usia yang muda di tali gantung. Berkecai segala harapan, musnah semua impian. Apakan daya. Bukan kecil kesalahan yang dilakukan si anak. Mengedar nganja. Undang-undang tidak kenal muda atau tua. Lelaki atau perempuan bila sudah melakukan kesalahan.
Wahai si anak, tidakkah kamu berfikir sebelum kamu melakukan sesuatu. Pernahkah kamu berfikir akibat daripada perbuatan kamu. Pernahkah kamu melihat kepada kedua ibubapa kamu sebelum kamu melangkah. Tega ke kamu melihat kedua orang tuamu mengalirkan airmata akibat daripada perbuatan kamu. Bila dah jadi macam ni, menangis air mata darah sekalipun takkan mengembalikan kamu kepada mereka.
No comments:
Post a Comment